1. Bilakah
Arahan ini diwujudkan?
Arahan ini mula diwujudkan pada
11 Mei 1997 oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri (JPM)
ekoran daripada tragedi keruntuhan Pangsapuri Highland Towers di Hulu Klang,
Selangor pada 11 Disember 1993. Bagi memperkemas dan memperluaskan skop
pengurusan Bencana yang semakin rumit dan kompleks, Arahan ini telah disemak
semula pada 30 Mac 2012 bagi menerangkan peranan pihak-pihak yang berkaitan
supaya ianya lebih menyeluruh dan bersepadu.
2. Apakah tujuan Arahan diwujudkan?
Arahan ini disediakan bertujuan
untuk menggariskan dasar dan mekanisme pengurusan bencana secara menyeluruh
termasuk peranan dan tanggungjawab Agensi Kerajaan, badan berkanun, pihak
swasta dan badan-badan sukarela meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas
berlaku sesuatu bencana supaya pengemblengan sumber dapat disepadukan bagi
mengelakkan pembaziran, konflik serta pertindihan peranan.
3. Mengapa skop dasar dan mekanisme Arahan ini
hanya bertumpu kepada pengurusan bencana di darat?
Penumpuan ini adalah kerana
kekerapan tinggi kejadian bencana di darat dan penyelarasan tindakbalas
agensi-agensi pengurusan bencana di darat adalah penting. Walau bagaimanapun
Arahan ini juga telah memperjelaskan peranan dan tanggungjawab Agensi Peneraju
bagi kejadian bencana maritim dan udara. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) telah dipertanggungjawabkan bagi mengurus kejadian bencana di laut
manakala Jabatan Penerbangan Awam (DCA) akan mengendalikan bencana udara dengan
kedua-duanya menggunakan Manual Mencari dan Menyelamat (SAR) Kebangsaan Jilid
IV sebagai rujukan.
4. Jenis kejadian bencana apakah yang termasuk
di bawah Arahan ini?
Terdapat 11 jenis bencana yang
akan diurus di bawah Arahan ini iaitu
a. bencana alam
(banjir, ribut/taufan, gempa bumi, tsunami, ombak besar, kemarau dan tanah
runtuh);
b. bencana
industri (letupan, kebakaran, pencemaran, kebocoran bahan berbahaya di
kilang/loji/depot yang memproses, mengeluar dan menyimpan bahan ini);
c. kemalangan
melibatkan pengangkutan/penyaluran/pemindahan bahan berbahaya);
d. keruntuhan
bangunan/struktur khas;
e. kemalangan
udara (yang berlaku di kawasan berpendudukan tinggi);
f.
pelanggaran/gelinciran keretapi/lain-lain sistem pengangkutan rel yang
melibatkan jumlah mangsa/kemusnahan harta benda yang besar;
g.
kebakaran (melibatkan kawasan yang luas termasuklah kebakaran bangunan
tinggi/struktur khas yang mempunyai ramai orang);
h.
empangan/takungan air pecah;
i.
kemalangan kimia, biologi, radiologi dan nuklear;
j.
kejadian jerebu;
k.
penularan wabak penyakit berjangkit yang tidak terkawal/pandemik; dan
l.
lain-lain kejadian Bencana yang akan diisytihar/ditetapkan Kerajaan.
Kejadian yang tidak
tersenarai di atas akan ditakrifkan sebagai Kejadian Bukan Bencana dan tidak
tertakluk di bawah Arahan ini.
5. Bagaimana Arahan ini membantu pengurusan
bencana?
Arahan ini
menerangkan mekanisme pengurusan bencana mengikut tiga (3) tahap iaitu Tahap I
(peringkat Daerah), Tahap II (peringkat Negeri) dan Tahap III (peringkat Pusat)
Penerangan setiap tahap ini adalah
seperti berikut:
Tahap I
|
Tahap II
|
Tahap III
|
|
Peringkat Bencana
|
Daerah
|
Negeri
|
Pusat
|
Nama Jawatankuasa Pengurusan
Bencana
|
Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Daerah (JPBD)
|
Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Negeri (JPBN)
|
Jawatankuasa Pengurusan Bencana
Pusat (JPBP)
|
Jenis Bencana
|
Kejadian kecil, setempat, terkawal
dan tiada potensi untuk merebak
|
Kejadian serius dan merebak ke dua
(2) daerah dan lebih
|
Bencana lebih kompleks di dua (2)
buah negeri dan lebih serta mengambil masa lama
|
Sumber
|
Dapat dilaksana menggunakan sumber
setempat
|
Bantuan aset, kewangan dan sumber
di peringkat Negeri serta bantuan yang terhad dari peringkat Pusat
|
Penggemblingan aset, kewangan dan
sumber yang lebih besar atau melalui bantuan dari luar negara
|
Pengerusi Jawatankuasa
|
Pegawai Daerah
|
YB Setiausaha Kerajaan Negeri
|
YB Menteri yang dilantik oleh YAB
Perdana Menteri
|
Komander Operasi Bencana
|
Ketua Polis Daerah
|
Ketua Polis Negeri
|
Pengarah Keselamatan Dalam Negeri
dan Ketenteraman Awam, PDRM
|
Timbalan Komander Operasi Bencana
|
Pegawai Bomba Daerah
|
Pengarah Bomba dan Penyelamat
Negeri
|
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi)
JBPM
|
Komander Kawalan Hadapan
|
Dilantik oleh Komander Operasi
Bencana mengikut kepakaran dalam menasihat tindakan mengikut jenis bencana
|
6. Bagaimana perintah dan kawalan dilaksana?
Bagi tujuan
perintah dan kawalan, kawasan bencana akan dibahagikan kepada tiga (3) zon
iaitu:
a.
Zon Merah
Zon ini meliputi
suatu kawasan yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana bagi menjalankan
operasi mencari dan menyelamat oleh Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas
yang mempunyai kepakaran tertentu sahaja. Kebenaran masuk ke dalam zon ini
perlu terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana
dengan nasihat Komander Kawalan Hadapan.
b.
Zon Kuning
Zon ini adalah
kawasan di luar tempat kejadian yang ditetapkan oleh Komander Operasi Bencana
untuk menempatkan pos-pos Agensi Penyelamat dan pasukan-pasukan khas yang mempunyai
kepakaran tertentu. Penempatan pos-pos dan akses masuk ke zon ini perlu
terlebih dahulu mendapat kebenaran daripada Komander Operasi Bencana.
c.
Zon Hijau
Zon ini adalah
kawasan di luar Zon Kuning yang menempatkan pos-pos dan petugas-petugas Agensi
Bantuan dan Pemulihan serta badan-badan sukarela. Zon ini juga menempatkan
Pusat Pengurusan Media, Pusat Keluarga Mangsa, Pusat Kaunseling, Tempat Bekalan
Makanan, Tempat Rehat dan Tempat Mayat. Lain-lain fungsi zon ini akan diputuskan
oleh Komander Operasi Bencana.
CONTOH KAWASAN |
7. Bagaimana
operasi mencari dan menyelamat diselaras?
Bagi melicinkan
tugas, Komander Operasi Bencana akan melantik Komander Kawalan Hadapan (Forward
Commander) untuk mengetuai semua operasi mencari dan menyelamat di tempat
kejadian. Komander Kawalan Hadapan ini hendaklah terdiri daripada mana-mana
Komander pasukan Agensi Penyelamat. Tugas Komander Kawalan Hadapan adalah untuk
menilai dan melaporkan situasi Bencana kepada Komander Operasi Bencana.
8. Adakah Arahan ini akan mengehadkan pihak
media untuk menjalankan tugas?
Pihak media masih
dibenarkan untuk mendapatkan maklumat dan berita berkenaan kejadian bencana.
Satu kawasan yang dikenali sebagai Pusat Pengurusan Media yang diwujudkan di
Zon Hijau. Pusat yang diselaras oleh Jabatan Penerangan ini akan memudahkan
pihak media untuk mendapatkan maklumat melalui sesi sidang media yang akan
disampaikan oleh Pegawai yang berkelayakan. Prosedur ini diwujudkan supaya
hanya fakta penting disampaikan kepada orang awam bagi mengelak berlakunya
kekeliruan yang tidak diingini.
9. Bagaimanakah prosedur jika terdapat
pihak-pihak merancang untuk memohon atau menghantar bantuan kemanusiaan
terutama sekali dari/ke luar negara?
Mana-mana pihak
yang merancang untuk memohon bantuan kemanusiaan dari luar negara atau
menghantar bantuan kemanusiaan ke luar negara hendaklah terlebih dahulu merujuk
kepada MKN. Berdasarkan Arahan ini, MKN sebagai Agensi Peneraju Utama
pengurusan bencana Negara bertanggungjawab untuk menyelaras pelaksanaan bantuan
kemanusiaan supaya pelaksanaannya selari dengan keputusan dasar Kerajaan serta
instrumen antarabangsa seperti perjanjian, memorandum persefahaman, deklarasi
dan sebagainya yang telah dimetrai Kerajaan dengan pihak antarabangsa.
10. Apakah peranan yang boleh dimainkan Agensi
Kerajaan, badan berkanun, pihak swasta dan badan sukarela dalam mencapai
matlamat pengurusan bencana secara berkesan?
Setiap pihak boleh
bekerjasama untuk melaksanakan setiap perkara yang telah digariskan di dalam
Arahan ini. Kerjasama yang boleh dijalinkan adalah seperti membantu
melaksanakan program-program kesedaran dan kependidikan awan berkaitan
pengurusan bencana, membantu menyalurkan bantuan dari segi penggunaan logistik
pada waktu yang diperlukan, menyalurkan sumbangan kewangan kepada Kumpulan Wang
Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) serta menggembleng tenaga dalam
usaha-usaha pengurangan risiko bencana.
RUJUKAN : ARAHAN 20
No comments:
Post a Comment